Pada 05 Disember 2025, Pusat Sebaran Maklumat NADI Salim telah melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) di SMK Bukit Lima dengan kerjasama NADI Teku dan NADI Pelawan. Program ini melibatkan seramai 162 orang murid Tingkatan 1, 2 dan 3 dan dijalankan dalam tiga sesi bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran murid tentang penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab. Antara topik yang ditekankan ialah maklumat palsu, jejak digital, red flag dan buli siber, bagi membantu murid memahami risiko serta cabaran dalam penggunaan media sosial.
Program ini dikendalikan oleh tiga orang fasilitator daripada Petugas NADI Kluster Sibu dan menggunakan Modul Remaja (13–17 tahun) sebagai bahan pembelajaran. Pelbagai aktiviti interaktif seperti kuiz dan Tepuk Internet Selamat telah dijalankan bagi meningkatkan kefahaman dan penglibatan murid.
Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai objektifnya apabila murid menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap ancaman dalam talian serta memahami kepentingan untuk bersikap berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab semasa melayari internet.

