Pada 29 September 2025, NADI Pelawan telah menganjurkan Kempen Internet Selamat (KIS) di SJK (C) Su Lai, Sibu dengan penglibatan seramai 720 murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6 bersama guru-guru sekolah. Bagi memastikan penyampaian lebih berkesan, pihak pengurusan NADI Pelawan telah menjemput Encik Radin anak Belayong, Penolong Pengarah MCMC Cawangan Sibu, sebagai penceramah berbahasa Mandarin agar murid lebih mudah memahami pengisian program.
Kempen ini dilaksanakan dengan tujuan memberi pendedahan awal kepada murid mengenai fungsi dan kegunaan internet, had umur penggunaan media sosial serta kesedaran tentang risiko siber yang tidak sesuai ditangani oleh kanak-kanak di bawah 13 tahun. Murid juga diperkenalkan dengan aktiviti alternatif yang lebih bermanfaat dan menyeronokkan berbanding penggunaan media sosial.
Sepanjang program berlangsung, murid mengikuti modul Rancangan Sesi Pengajaran (RSP) yang merangkumi aspek literasi digital, kesedaran tentang bahaya media sosial, kuiz interaktif serta aktiviti “Tepuk Internet Selamat.” Secara keseluruhan, program ini telah berjaya meningkatkan pemahaman murid mengenai penggunaan internet secara selamat serta membentuk sikap lebih berhati-hati ketika berinteraksi di alam maya.

