Pada 2 September 2025, satu program Kempen Internet Selamat telah dijalankan di SJKC Chung Sing dengan penglibatan murid berusia 7 hingga 12 tahun. Pertugas NADI telah menyampaikan taklimat bertajuk “Internet Boleh, Media Sosial Stop Dulu.”
Tujuan utama kempen ini adalah untuk memberi kesedaran awal kepada para murid tentang kepentingan keselamatan ketika menggunakan internet. Melalui perkongsian tersebut, murid-murid didedahkan tentang bagaimana internet boleh dimanfaatkan sebagai medium pembelajaran yang bermanfaat, selain memahami bahaya jika terlalu awal terdedah kepada penggunaan media sosial.
Antara kebaikan kempen ini ialah murid dapat memahami kepentingan menjaga keselamatan diri semasa berada di alam maya. Mereka juga lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi dan mula belajar cara mengawal masa penggunaan internet. Selain itu, program ini turut membantu murid membezakan penggunaan internet untuk tujuan pembelajaran dengan hiburan semata-mata.
Secara keseluruhannya, kempen ini telah memberi impak positif kepada para murid kerana pendekatan yang digunakan adalah mudah difahami dan sesuai dengan peringkat umur mereka. Pihak sekolah juga menyambut baik usaha ini kerana ia dapat membantu murid membina tabiat penggunaan internet yang lebih selamat dan bermanfaat pada masa hadapan.

