Pada 2 Disember 2024, seramai 25 orang pelajar dan 2 orang cikgu pengiring iaitu Cikgu Nor Sarawani Mohamad dan Cikgu Audrey Tiong telah membuat lawatan sambil belajar ke NADI Pelawan. Program ini bermula pada jam 2 petang hingga 5 petang bertempat di Bilik Latihan, NADI Pelawan. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang konsep asas kecerdasan buatan (AI) dan potensinya dalam kehidupan seharian. Pendekatan ini membantu pelajar melihat bagaimana teknologi ini memberi impak langsung kepada cara hidup mereka dan mempermudahkan urusan harian. Selain itu, membantu pelajar memahami peranan teknologi AI dalam membentuk masa depan dunia pekerjaan dan inovasi. AI semakin menjadi elemen penting dalam pelbagai industri, termasuk perubatan, pendidikan, dan perniagaan. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk membuka mata pelajar kepada peluang kerjaya yang berkaitan dengan AI, serta bagaimana inovasi teknologi boleh mencetuskan penyelesaian baru kepada masalah global. Akhir sekali, menggalakkan pelajar memanfaatkan kemahiran digital untuk menjadi individu yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0. Dalam era digital ini, pelajar perlu menguasai kemahiran teknologi untuk kekal relevan dalam pasaran kerja. Program ini memberi inspirasi kepada pelajar untuk membina asas dalam AI dan kemahiran digital lain, agar mereka dapat bersaing dan menyumbang dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi.