Pusat Sebaran Maklumat Nasional (secara rasmi disingkatkan sebagai NADI) merupakan projek kerajaan dengan inisiatif yang diwujudkan pada tahun 2013 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Projek ini dilaksanakan di dalam pembentangan Belanjawan 2013 di bawah Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dengan matlamat untuk merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat luar bandar dengan masyarakat bandar.
Ia diwujudkan bagi memberi kemudahan capaian internet kepada komuniti tempatan, memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan terhadap teknologi komputer dan internet, serta meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat melalui kemudahan yang disediakan dan aktiviti yang dijalankan di NADI.
Pada 26 Februari 2024, Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil berkata Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan dikenali sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bermula 1 Mac 2024.
Objektif:
- Menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada komuniti khususnya di luar bandar dan dari kawasan yang kurang liputan perkhidmatan;
- Memperkasakan komuniti melalui program-program yang lebih mampan dan relevan untuk merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosio-ekonomi. Program-program yang ditawarkan di NADI merangkumi lima bidang fokus utama iaitu keusahawanan, e-pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran; dan
- Menyediakan platform untuk masyarakat luar bandar terutamanya komuniti sekitar NADI bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan tepat berkenaan inisiatif-inisiatif Kerajaan seperti PADU, Manfaat MADANI dan BUDI MADANI agar semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Di bawah aspirasi 1 DUN 1 NADI, 186 NADI baharu sedang dibangunkan. Daripada jumlah tersebut, 21 NADI telah siap dan beroperasi setakat 1 Jun 2024. Baki 165 NADI baharu kini sedang dalam fasa pelaksanaan. Ini menjadikan jumlah NADI yang sedang beroperasi setakat ini adalah sebanyak 932 NADI. Menjelang akhir tahun 2024, sebanyak 1,097 NADI dijangka akan beroperasi di seluruh negara.